fb fb fb fb fb

Warga emas maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta

Seorang warga emas maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 43, Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 27 Disember - Seorang warga emas maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43, Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, berhampiran Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh Kelantan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 7.05 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 6.50 pagi apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 27 tahun terbabas dan memasuki laluan bertentangan, melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

"Mangsa, warga emas lelaki berusia 77 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 atau hadir ke balai polis berdekatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI