MACHANG, 27 Disember - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Sawa, Kampung Belukar-Ulu Sat, di sini ditemukan lemas malam tadi kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Mangsa, Mohamad Syafi Irsyad Mohd Shaharudin, 13 tahun sebelum itu dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika berada di tepi sungai berkenaan pada kira-kira pukul 4.00 petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ahmad Alfarra Mohamad Zin ketika dihubungi berkata, anggota dari BBP Machang bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa melakukan operasi pencarian menggunakan kaedah surface searching sepanjang kira-kira satu kilometer menyelusuri sungai.
"Usaha pencarian diteruskan sehingga pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam pada jam 9.40 malam yang memaklumkan mangsa telah ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika abang mangsa berusia 15 tahun terjatuh ke dalam sungai semasa duduk di tebing sungai berkenaan," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut bertindak terjun ke dalam sungai untuk membantu menyelamatkan abangnya.
"Abang mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air, manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat," katanya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran untuk tindakan lanjut.