KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sebanyak RM412 juta diperuntukkan bagi memperkasa masyarakat Orang Asli secara menyeluruh tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut selaras dengan iltizam Madani dalam memastikan komuniti itu tidak terpinggir, selari dengan prinsip 'Leave No One Behind' bawah pelan Matlamat Pembangunan Mampan, (SDG) 2030. Jelasnya, peruntukan itu tidak termasuk peruntukan bawah Bumiputera.
Bagi tujuan itu, pindaan Akta Orang Asli 1954 akan dibentangkan bagi memperkukuh hak dan kepentingan Orang Asli berkaitan tanah dan kebajikan.
Sementara itu, RM155 juta disediakan bagi menambah baik infrastruktur jalan-jalan di Kampung Orang Asli, termasuk jalan baharu di Kampung Orang Asli Batu Peti dan Panchor,Jempol, Negeri Sembilan serta Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut, Pahang.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan hampir RM13 juta untuk menaiktaraf premis TABIKA di semua Kampung Orang Asli.
"Ini termasuk empat tabika Orang Asli baharu di Kampung Kuala Terbol, Temerloh, Pahang; Kampung Tanjung Tuan, Mersing, Johor serta Kampung Uli Kuang, Gombak dan Kampung Taman Desa Kemandol, Kuala Langat di Selangor,"
Bagi menangani isu keciciran murid pula, Program Chup Badui Sikulah akan diperluas di sekolah terapung di Hulu Perak untuk mendidik lebih 350 anak-anak Orang Asli.