fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: RM18.6 untuk Kementerian Pendidikan Tinggi

Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Belanjawan 2026 memperuntukkan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh sistem pengajian tinggi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, daripada jumlah itu lebih RM400 juta adalah untuk menyelenggara prasarana dan mengganti peralatan usang di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

“Tiada anak muda harus terhenti cita-citanya kerana kekangan kewangan. Pendidikan tetap pelaburan utama yang menjamin masa depan lebih baik.

"Kerajaan akan terus menyokong anak muda keluarga susah dengan bantuan dan peluang yang adil untuk melangkah ke menara gading,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan melalui dana kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menampung biasiswa, pinjaman serta elaun pendidikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Pihak swasta juga diberi insentif potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan biasiswa kepada pelajar berkelayakan, yang kini diperluas kepada program Ijazah Sarjana Muda serta kelayakan profesional dalam bidang ICT, kejuruteraan, perakaunan dan kewangan,” katanya.

Selain itu, Program Celik MADANI oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diteruskan dengan pemberian pelaburan awal RM50 dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) kepada 200,000 pelajar.

"PNB juga akan menawarkan RM5 bilion unit tambahan bagi ASB 3 Didik dan ASM," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN