KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini turut menekankan aspek pemerkasaan Bahasa Melayu yang menjadi nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan.
- Bahasa Melayu diperkukuh sebagai nadi identiti, ilmu, budaya dan perpaduan negara.
- Kementerian Pendidikan utamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran.
- Sekolah antarabangsa mesti pastikan pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan untuk semua pelajar Malaysia.
- Penghidupan semula Hadiah Bahasa menzahirkan tekad MADANI memartabatkan warisan Bahasa Melayu.
- Penguasaan Bahasa Inggeris juga diberi keutamaan sejak peringkat rendah mengikut tuntutan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan yang perkara itu mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat.
“Ia bukan sekadar bahasa komunikasi, tetapi bahasa ilmu, budaya dan perpaduan. Seyogia diperingatkan, Kementerian Pendidikan akan terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran.
“Kita perhatikan terdapat kecuaian pelaksanaan yang bercambah di 249 sekolah antarabangsa. Sekolah antarabangsa harus memastikan pelaksanaan pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan kepada semua anak Malaysia,” tegas Perdana Menteri.
Katanya, penghidupan semula Hadiah Bahasa menandakan tekad MADANI memperkasa warisan bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.
Bagaimanapun ujar beliau, sesuai dengan tuntutan semasa, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara harus diberikan keutamaan mulai dari peringkat rendah.