KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap siri tragedi jalan raya yang meragut banyak nyawa yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Ini termasuk insiden membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), nahas bas pelancong di Ayer Hitam, kemalangan trak anggota polis di Teluk Intan serta kejadian lori di Plaza Tol Bukit Kajang yang mengorbankan seorang bayi tidak berdosa.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih tegas bagi membendung kejadian seumpama itu daripada terus berulang.
“Kementerian Pengangkutan di peringkat akhir menetapkan peraturan had kelajuan untuk kenderaan berat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi mencapai objektif itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion bagi menyelenggara Jalan Persekutuan termasuk menurap jalan berlubang, memasang lampu jalan di kawasan berisiko, serta mengganti perabot jalan.
Katanya, daripada jumlah itu, RM700 juta akan disalurkan kepada kontraktor G1 hingga G4.
Sementara itu, sebanyak RM5.6 bilion disediakan di bawah Pemberian MARRIS kepada kerajaan negeri bagi menyelenggara jalan negeri di seluruh negara.
Manakala RM30 juta diperuntukkan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah dalam mempercepat kerja-kerja pembaikan kecil termasuk aduan rakyat menerusi aplikasi MYJalan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut akan memasang 3,000 unit lampu LED di lokasi berisiko tinggi di lebuh raya bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam masa sama, kerajaan bercadang memberi Elaun Modal Dipercepatkan bagi kos pembelian alat pengehad kelajuan kenderaan berat yang boleh dituntut dalam tempoh setahun.
Peruntukan itu turut memperluas Program Saringan Kesihatan PERKESO kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan.
Bagi menggalakkan keselamatan kenderaan di jalan raya, kerajaan turut menawarkan geran padanan sehingga RM4,000 kepada pemilik kereta berusia melebihi 20 tahun yang tidak lagi ekonomik.
"Inisiatif itu bagi melupuskan kenderaan lama dan membeli kenderaan nasional baharu," katanya.