KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Seramai sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza dijangka pulang ke tanah air pada petang Ahad ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kesemua mereka yang dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis selamat tiba di Istanbul, Turkiye.
Aktivis berkenaan akan pulang ke Malaysia menaiki pesawat Turkish Airlines dan berlepas dari Istanbul pada pukul 1.40 pagi Ahad (waktu tempatan).
"Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.05 petang, insya-Allah," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.
Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua aktivis telah dipindahkan keluar dari negara haram Israel menggunakan penerbangan Turkish Airlines TK6921, dan tiba di Istanbul pada pukul 2.30 petang waktu tempatan.
Misi kemanusiaan gelombang ketiga itu disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad, sebelum dipintas tentera Zionis kurang 120 batu nautika dari Gaza, pada Rabu lalu.
Lapan rakyat Malaysia yang menyertai kapal Conscience melibatkan Ketua Delegasi Malaysia Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi aktivis Malaysia, Dr Maziah Muhammad menyertai kapal Umm Saad.