fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 fokus lahir tenaga muda berkemahiran tinggi dalam AI, semikonduktor

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 September- Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan bulan depan akan memberi tumpuan besar terhadap usaha melahirkan tenaga muda berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menegaskan bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor huluan akan menjadi fokus utama kerana ia kini menjadi antara keperluan paling mendesak dalam industri berteknologi tinggi.

“Kita perlu menilai semula pencapaian setakat ini serta menentukan keperluan untuk memberikan sokongan bagi mempercepatkan kemajuan.

Program latihan dan kecanggihan yang diperlukan bertujuan untuk meningkatkan martabat serta keupayaan anak-anak kita,” kata Datuk Seri Anwar ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) ke-9, di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu amat penting bagi menyokong pelaburan besar syarikat antarabangsa termasuk Infineon Technologies di Kulim dan Melaka.

Jelasnya, hanya dengan tenaga kerja yang benar-benar terlatih dalam kejuruteraan dan AI, Malaysia mampu menepati kehendak pelabur global.

Justeru, kerajaan merancang menambah peruntukan bagi memperkukuh pembangunan kemahiran dalam AI, teknologi digital serta kejuruteraan, di samping mempercepat pelaksanaan program latihan sedia ada.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama universiti dan industri harus diperkasa, bukan sekadar bersifat akademik, malah graduan perlu dihasilkan mengikut keperluan semasa syarikat teknologi.

Dalam masa sama, Anwar mengingatkan agar institusi pendidikan tinggi (IPT) mempercepat proses kelulusan program baharu, tanpa terikat dengan birokrasi yang membantutkan pembangunan modal insan.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika mencadangkan penubuhan Fakulti (AI) lebih dua tahun lalu, yang lazimnya mengambil masa berbulan-bulan untuk diluluskan.

Namun, penghargaan dizahirkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak universiti kerana mempercepatkan penubuhan fakulti itu, sekali gus memecahkan halangan birokrasi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM