fb fb fb fb fb

Konsert budaya Uzbekistan di Kuala Lumpur eratkan hubungan dua hala

Hari Budaya Uzbekistan berlangsung di Auditorium Bandaraya, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 10 September - Warna-warni budaya Uzbekistan menyerikan ibu negara menerusi Konsert Kumpulan Budaya Uzbekistan sempena Hari Budaya Uzbekistan di Malaysia yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert berkenaan menampilkan persembahan muzik tradisional, tarian rakyat serta kostum autentik Asia Tengah, sekali gus menjadi simbol keakraban hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev berkata, penganjuran acara itu merupakan hasil persetujuan yang dicapai semasa lawatan pemimpin kedua-dua negara.

“Hari ini kita berjaya menganjurkan persembahan seni Uzbekistan di Kuala Lumpur. Ia dipersetujui semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tashkent, dan kunjungan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Kuala Lumpur awal tahun ini,” katanya kepada RTM.

Dr Karomidin turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, atas sokongan menganjurkan program tersebut.

Konsert yang dibuka secara percuma itu menarik minat masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, sekali gus memperkukuh persefahaman rakyat kedua-dua negara melalui seni dan budaya.

TUN JULIA MOHD TAHIR