KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen Jumaat ini diharap dapat memberi penekanan khusus kepada pembangunan pelancongan masuk ('inbound') dan pelancongan domestik.
Ia sejajar dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan, di mana kedua-dua segmen pelancongan masuk dan domestik perlu diperkukuh lagi bagi menarik lebih ramai pelancong.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata konsep pelancongan lestari juga boleh dijadikan sebagai strategi utama bagi memastikan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan di Malaysia.
"Malaysia sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi. Negara kita turut memiliki beberapa kawasan yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO ( Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu), antaranya Tasik Bera yang dikenali dengan kekayaan biodiversitinya serta Taman Negara di Pahang.
"Kawasan-kawasan ini wajar diberikan tumpuan oleh kerajaan, khususnya daripada segi pembangunan infrastruktur.
"Sebagai contoh, jalan raya ke kawasan ini mungkin boleh dinaik taraf atau dilebarkan. Peningkatan infrastruktur adalah penting walaupun kawasan-kawasan ini terletak di pinggir bandar atau luar bandar, kerana kemudahannya boleh dipertingkatkan ke tahap bertaraf dunia.
"Oleh itu, diharapkan Belanjawan 2026 turut memberi perhatian kepada aspek pelancongan lestari, termasuk penyediaan geran khusus untuk pembangunan pelancongan berasaskan alam semula jadi," katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, diharapkan agar geran khusus juga dapat dipertingkatkan kepada pemain industri dan persatuan agar mereka berupaya membangunkan aspek digitalisasi dalam sektor pelancongan.
Ia penting kerana cabaran dalam proses digitalisasi masih menjadi kekangan kepada sektor pelancongan, terutamanya dari segi penyediaan maklumat, infografik, dan kandungan digital yang relevan.
Belanjawan kali ini akan menumpukan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, dan memacu pembaharuan, khususnya dalam aspek tadbir urus yang baik.