ALOR SETAR, 7 Oktober - Malaysia dipilih menjadi tuan rumah 22nd International Mathematics and Science Olympiad (IMSO) 2025 dan ia mendapat penyertaan seramai 400 murid sekolah rendah daripada 23 negara meliputi lima benua utama.
IMSO 2025 diadakan di Al-Bukhary International University (AIU), di sini dan berlangsung selama lima hari bermula 5 Oktober dan berakhir pada 9 Oktober ini.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program tersebut.
Tahun ini, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama-sama Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Sekolah (PIBKS) Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah diberi kepercayaan oleh IMSO Executive Council untuk mengendalikan program tersebut.
IMSO merupakan pertandingan tahunan berprestij untuk pelajar sekolah rendah berumur bawah 13 tahun yang menggalakkan kecemerlangan akademik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sambil memupuk persahabatan antarabangsa melalui pendidikan.
Ia bertujuan membangunkan potensi pelajar dalam matematik dan sains; memupuk inovasi dan penyelidikan akademik; membina rangkaian pendidikan antarabangsa dan menggalakkan pertukaran budaya serta persahabatan global.