fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 cerminkan tatakelola, kecekapan dan empati terhadap rakyat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Oktober - Belanjawan 2026 merupakan hasil gabungan ketegasan dalam tatakelola, kecekapan fiskal serta empati terhadap rakyat, seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan belanjawan kali ini mencerminkan keseimbangan antara disiplin pengurusan ekonomi dan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kerangka belanjawan tidak boleh lari daripada realiti ekonomi yang sedang kita hadapi. Teori ekonomi perlu diselarikan dengan keadaan sebenar.

“Masalahnya, kadang-kadang apabila kita hanya mengambil pandangan ahli akademik atau pakar teori, mereka memberi kerangka umum tanpa mengambil kira realiti seperti kedudukan hutang, defisit dan hasil negara.

"Semua itu perlu difahami terlebih dahulu sebelum kita dapat mewujudkan keseimbangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menjelaskan bahawa situasi ekonomi negara ketika ini jauh berbeza berbanding era 1990-an ketika beliau pernah memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Pada tahun 1990-an, pertumbuhan ekonomi negara sangat rancak, sekitar 10 hingga 11 peratus dengan kadar defisit yang kecil. Dalam tempoh dua tahun, strategi ketika itu berjaya menyeimbangkan belanjawan (balanced budget), dan pada tahun ketiga kita sudah mencatat lebihan (surplus).

“Namun, keadaan kini berbeza. Kita mewarisi hutang yang membengkak serta defisit yang tinggi. Semua ini mesti diteliti terlebih dahulu sebelum kita melakar satu kerangka belanjawan yang sesuai dengan tuntutan semasa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Belanjawan 2026 bukan sekadar belanjawan angka, sebaliknya mencerminkan nilai, amanah dan maruah sebuah negara.

Beliau juga menyatakan keyakinan dengan iltizam dan kesepaduan seluruh penjawat awam, negara akan terus melangkah ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan, adil dan inklusif.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI