KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Projek pembangunan tapak pelancar kapal angkasa di Malaysia ketika ini pada peringkat kajian kebolehlaksanaan serta penilaian cadangan lokasi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pihaknya telah menerima laporan penuh hasil kajian tersebut melalui kerajaan negeri Pahang dan ia dijangka dinilai jawatankuasa penilaian yang terdiri daripada pelbagai agensi dalam tempoh masa terdekat.
"Selain itu, pada awal tahun ini, MOSTI juga telah menerima satu laporan kajian interim melalui kerajaan negeri Sabah. Kerajaan kini sedang menunggu laporan penuh sebelum proses penilaian dapat dimulakan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berhubung perkembangan terkini inisiatif pembangunan tapak pelancaran kapal angkasa di Malaysia.
Tambah Datuk Mohammad Yusof, projek pembangunan tapak pelancar itu dilaksanakan selari dengan Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar bagi memastikan sebarang pembangunan kemudahan pelancar dilakukan secara terancang, selamat, berkesan serta memberi nilai besar kepada negara.
Bagi penilaian lokasi tapak pelancar pula, ia dilaksanakan berpandukan 58 elemen kebolehlaksanaan yang digariskan di bawah lapan skop utama antaranya analisis tapak, teknikal, risiko alam sekitar serta kos dan kewangan.
"Saya yakin projek pembangunan tapak pelancar tersebut dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara hab strategik dalam industri angkasa serantau.
Di samping menjana limpahan ekonomi melalui penyediaan peluang pekerjaan baharu, pemindahan teknologi, peningkatan daya saing negara di peringkat antarabangsa," katanya.