KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Setiap peruntukan dalam Belanjawan 2026 perlu dipastikan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, analisis terhadap belanjawan tersebut menunjukkan hampir 46.9 peratus daripada keseluruhan peruntukan digunakan bagi memenuhi keperluan daruriyat atau keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya sambil menambah bahawa sekitar 18 peratus diperuntukkan untuk tujuan hajiat, manakala satu perpulahan lapan peratus lagi bagi keperluan tahsiniat.
Jelasnya, pembahagian ini sejajar dengan peningkatan penggunaan dalam ekonomi Islam, yang menekankan keseimbangan antara keperluan asas dan pembangunan menyeluruh.
“Secara keseluruhan, hampir separuh daripada Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada persoalan kehidupan rakyat, memperlihatkan kehebatan pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyeimbangkan keutamaan ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.