fb fb fb fb fb

80 mahasiswa UiTM Perlis jayakan Program Bakti MADANI Mega

Foto RTM

KANGAR, 12 Oktober - Seramai 80 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menjayakan Program Bakti MADANI Mega yang berlangsung di Kampung Ujung Bukit, Bintong.

Program tersebut dapat melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik, tetapi juga memiliki nilai kepimpinan dan empati yang tinggi.

Ia turut menjadi platform terbaik untuk menghubungkan pelajar dengan komuniti serta memupuk semangat kesukarelawan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, program itu merupakan inisiatif serampang dua mata yang bukan sahaja berkonsepkan kekeluargaan, malah memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan komuniti dalam pelbagai bidang.

Program sebegini menjadi satu manifestasi penting kepada pendekatan baharu yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dimana fokus utama ialah Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan Ilmu, berpandukan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi ke-11 iaitu memperkasakan komuniti dan industri melalui pemindahan dan perkongsian ilmu.

"Ilmu yang mereka perolehi itu daripada sudut nilai, daripada sudut pengetahuan, daripada sudut isu dan permasalahan di kampung yang mungkin ke depan ini para pelajar ini bakal menjadi pemimpin satu ketika nanti.

"Insya-Allah mudah-mudahan mereka tahu permasalahan sebenarnya di kampung dan apa isu setidak-tidaknya di samping memahami nilai dan budaya masyarakat setempat.

"Saya harapkan kerjasama erat ini antara Institusi Pengajian Tinggi. Terima kasih pihak KPT atas inisiatif yang diambil," katanya.

Beliau memaklumkannya pada Perasmian Penutup Program Bakti MADANI Mega UiTM Perlis 2025 di Kampung Ujung Bukit di sini.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh menyatakan bahawa menerusi program itu para pelajar dapat memahami kehidupan sebenar masyarakat di kampung dan banyak perkara baharu dipelajari sepanjang bersama keluarga angkat sama ada dalam keluarga itu sendiri, jiran tertangga dan komuniti Kampung Ujung Bukit.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program itu termasuklah Program Bersama Keluarga Angkat, Program Khidmat Komuniti, Pertandingan Berkayak, Sumbangan Asnaf dan Malam Kebudayaan.

Program mendapat kerjasama aktif komuniti setempat yang menjadikan program sebegini sebagai wadah mendekatkan masyarakat kampung dengan mahasiswa pusat pengajian tinggi dari seluruh negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM