fb fb fb fb fb

KPWKM bantu keluarga mangsa rogol di Alor Gajah

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah segera bagi membantu keluarga pelajar perempuan yang menjadi mangsa kejadian rogol di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan pegawai pelindung dan kaunselor kementerian telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menawarkan sokongan psikologi dan kaunseling kepada mangsa serta keluarganya.

“Kami segera turun padang sebaik menerima laporan bagi memastikan kebajikan mangsa diberi perhatian sewajarnya. Namun, memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, kami perlu menghormati proses undang-undang dan memberi ruang kepada keluarga,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Awak OK Tak? di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy berkata pihaknya akan terus memantau situasi keluarga terbabit serta menyediakan bantuan lanjutan sekiranya diperlukan, khususnya dalam membantu mereka pulih daripada trauma emosi.

“Kami sedia beri bantuan sepenuhnya, termasuk khidmat kaunseling dan sokongan moral, sekiranya keluarga atau mangsa memerlukan sokongan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementeriannya merancang untuk memperluas program advokasi di sekolah sebagai langkah pencegahan.

Usaha tersebut bertujuan membentuk pelajar yang lebih beretika dan bertanggungjawab terhadap tingkah laku sosial mereka.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN