KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Kementerian Pendidikan menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion menerusi Belanjawan 2025, berbanding RM58.7 bilion tahun ini, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan ruang pembelajaran yang selesa, selamat, dan bermakna kepada pelajar di seluruh negara.
"Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah, dengan RM1 bilion khusus untuk menyelenggara bilik darjah yang uzur di semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera, serta sekolah pendidikan khas OKU.
"Sebanyak RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata sebanyak 44 sekolah baharu akan dibina pada tahun hadapan, termasuk SK Bandar Putra Indah di Batu Pahat, Johor; SMK Bandar Seri Putra (2) di Hulu Langat, Selangor; SMK Lok Kawi di Putatan, Sabah; SMK Semeling di Sungai Petani, Kedah; dan SK Dudong di Sibu, Sarawak.
Untuk memastikan capaian internet di kawasan desa dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke sekolah luar bandar dengan peruntukan RM100 juta.
Anwar berkata, Projek Point of Presence (POP) sedia ada juga akan diteruskan dengan peruntukan melebihi RM800 juta.