fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM6.8 bilion bagi lahirkan lebih banyak bakat masa hadapan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Ikhtiar untuk lahirkan lebih banyak bakat masa hadapan akan diperhebat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ke arah itu, beliau berkata kerajaan peruntukkan RM6.8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pelaksanaan pelbagai insentif.

"Tahun hadapan, RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

"Tahun hadapan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan memanfaat dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini.

Tambah Anwar, pada masa yang sama, HRD Corp akan memperuntukkan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada usahawan PMKS dan golongan rentan seperti bekas banduan, OKU, warga emas dan pesara.

Setakat 5 Oktober lalu, sebanyak 17 GLC dan 44 syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman mencakupi kerjasama melalui pembangunan kurikulum serta sumbangan peralatan dan kepakaran.

Umpamanya, PETRONAS telah bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor bagi menyediakan khidmat pelatih industri, pembangunan kurikulum dan peralatan yang memenuhi spesifikasi industri petrokimia di Pengerang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerjasama erat agensi kerajaan dan industri akan diperkemas bagi melahirkan lebih banyak bakat masa hadapan yang memenuhi keperluan industri.


(FOTO HIASAN)

Katanya, bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran, Program Academy in Industry akan dilaksanakanuntuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.

" Daya saing negara bagi sektor utama seperti aeroangkasa, peranti perubatan dan digital bergantung kepada pasaran bakat tenaga kerja yang mahir dan cemerlang. Oleh itu, kerajaan akan menawarkan RM30 juta sebagai galakan kepada pihak industri untuk melatih tenaga kerja tempatan termasuk menawarkan kepakaran mereka sebagai tenaga pengajar dan membiayai
innovasi dalam penghasilan produk baharu," katanya.

Sementara itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta akan menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.

Sebanyak RM20 juta dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikandan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

Manakala sebanyak RM17 juta pula disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET yang akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.

Media Baharu