fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM160 juta untuk manfaat penggiat seni

(Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Bakat kreatif tempatan terus mendapat sokongan daripada kerajaan bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni dalam negara ini.

Untuk itu, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 menyediakan RM160 juta bagi pihak terbabit melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM60 juta daripadanya adalah di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

"RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat di sini.

Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu iaitu pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan.

Begitu juga pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; serta pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

Tambah Anwar, kerajaan turut bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Sementara itu, kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan sebagai pengiktirafan tahap tertinggi kepada tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu