KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan tunai RM500 sebelum Ramadan tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata kadar maksimum STR itu meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 memanfaatkan 60 peratus golongan dewasa di seluruh negara. Manakala kadar STR untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.
"Saya mendengar keluhan majoriti rakyat yang mendepani cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan. Isu ini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan dalam memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.
"Hikmah penyasaran semula subsidi, membolehkan Kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui pada tahun hadapan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata untuk STR 2024 kerajaan mengambil pendekatan berbeza iaitu membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
"Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan dikreditkan ke dalam myKad 200,000 penerima STR.
Bantuan RM100 sebulan akan dikreditkan untuk tempoh enam bulan.
"Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad.
"Mengambil kira maklum balas yang amat baik kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan," katanya.
Anwar berkata, peningkatan STR itu dijangka boleh dilaksanakan hasil penjimatan subsidi yang sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan.
Bantuan STR dijangka dapat dimanfaatkan kepada sembilan juta rakyat yang layak di seluruh negara.