fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: RM1.1 bilion selesai isu bekalan air bersih

Belanjawan 2024: RM1.1 bilion selesai isu bekalan air bersih

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air melalui Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berikrar bahawa isu bekalan air bersih harus dinoktahkan terutamanya di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagi negeri Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air.

"Paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor.

"Sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.

rtm

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Sabah, tumpuan kerajaan adalah untuk memulih dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

Bagi Labuan pula, usaha ditumpukan kepada penggantian paip-paip yang usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada.

Sementara itu, kerajaan bersetuju memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, program itu memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk internet di kawasan desa yang terpinggir.

"Bagi memastikan ketangkasan jentera Kerajaan agar tidak bertindak secara silo, saya mengarahkan semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Perkhidmatan untuk mengembleng tenaga rentas kementerian serta bekerjasama dengan GLC, GLIC dan badan swasta untuk menjayakan Program ini," katanya.

Media Baharu