KUALA TERENGGANU, 14 Oktober -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyambut baik langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada kementerian berkenaan seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2024 semalam.
Menurut Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan tambahan itu juga selari dengan rintangan serta cabaran bakal dihadapi dengan pelaksanaan subsidi bersasar yang dirancang kerajaan.
Tambah Armizan, pihaknya dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia-MyCC akan terus memperkukuhkan kerangka perundangan menerusi pindaan Akta Persaingan 2010 dalam menangani pelbagai isu, termasuk isu kartel.
"Fokus utama kita adalah menambah bilangan pegawai penyiasat serta latihan bagi meningkatkan kecekapan pegawai.
"Selain itu, peruntukan tambahan tersebut turut membolehkan kementerian memperkukuh agensi perisikan agar dapat menangani isu-isu yang berbangkit", katanya yang ditemui selepas merasmikan Sambutan Program Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Batu Buruk, di sini.
Terdahulu, Armizan turut melepaskan para peserta berbasikal Fun-Ride yang akan berkayuh sejauh 30 kilometer di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus serta peserta larian fun-walk, sejauh lima kilometer.
(FOTO FB APMTerengganu01)