fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024 utama kebajikan rakyat secara menyeluruh- Aminuddin

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

SEREMBAN, 14 Oktober- Belanjawan 2024 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai satu belanjawan yang berpihak kepada kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, secara keseluruhannya tiada satu kumpulan sasar yang tertinggal daripada mendapat manfaat.

Jelasnya, meskipun negara berdepan hutang mencecah RM1.3 trilion, namun menerusi Belanjawan 2024 menunjukkan kerajaan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Ia dilihat menerusi bantuan Sumbangan Tunai Rahmah yang dinaikkan dan belanjawan keseluruhan yang disifatkan sebagai tertinggi setakat ini.

"Banyak manfaat diterima oleh rakyat terutama peningkatan kadar maksimum pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari RM3,100 kepada RM3,700 dan kadar minimum STR untuk golongan belia dari RM350 kepada RM500.

"Jadi ini menunjukkan dalam kita menghadapi isu atau kos sara hidup yang meningkat, kerajaan telah menunjukkan komitmennya membantu rakyat.

"Saya juga setuju dengan langkah Perdana Menteri melaksanakan pendekatan penyasaran semula subsidi supaya benar-benar ia mencapai matlamatnya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, hari ini.


(Aminuddin pada Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, hari ini)

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan atas peruntukan yang diberi menerusi beberapa projek bagi pembangunan di Negeri Sembilan.

Antara manfaat yang diterima Negeri Sembilan adalah, Klinik Kesihatan Rantau ; pembinaan Jambatan baharu di Kuala Lukut, Chuah ; pembinaan tadika di Jempol, Jelai dan naik taraf sungai menerusi rancangan tebatan banjir bagi Sungai Jelai Kuala Pilah, selain naik taraf Sekolah Menengah Agama di Jempol.

Media Baharu