KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah melalui Belanjawan 2024, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Payung Rahmah ialah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.
"Perjuangan menangani beban sara hidup yang dicetus Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak akan terhenti dan akan terus diperkasa," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan DUN di seluruh negara.
Sementara itu, program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan.
"Ia bagi mengurangkan kos perniagaan sekali gus dapat menurunkan harga jualan," tambahnya.