(Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ekonomi domestik Malaysia terus kukuh selepas hampir setahun mentadbir negara.
Ini terbukti menerusi kadar pengangguran yang menurun kepada 3.4 peratus setakat Ogos lalu iaitu terendah dengan hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 iaitu 3.3 peratus, serta kadar inflasi dua peratus antara terendah di Asia Tenggara,
“Kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi, tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara beransur-ansur setiap bulan.
“Pada Ogos 2023, kadar inflasi hanya dua peratus iaitu antara terendah di rantau ini malah lebih baik ketimbang negara ekonomi maju,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia juga kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing serta destinasi tumpuan pelancong.
"Bagi separuh pertama 2023, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.
"Pencapaian ini merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51,000 peluang pekerjaan," katanya.
Setakat Ogos lalu, negara telah menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta pelancong iaitu lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
(FOTO HIASAN)