AYER KEROH, 14 Oktober - Sukan Melaka menerima lebih 13,000 penyertaan bagi merebut Piala Ketua Menteri Melaka yang melibatkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebanyak lima acara sukan dipertandingkan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal dan bola keranjang.
"Jadi penyertaan di peringkat bahagian-bahagian dan peringkat parlimen telah melebihi 10,000 penyertaan dalam kelima-lima acara sukan dan yang paling banyak penyertaan adalah penyertaan bola sepak dan sepak takraw yang telah berjaya membawa lebih 4,750 penyertaan," kata Ab Rauf kepada pemberita pada pelancaran Sukan Melaka sempena Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
(Lebih 13,000 penyertaan bagi merebut Piala Ketua Menteri Melaka)
Kesemua pasukan bagi setiap acara sukan mewakili DUN masing-masing akan berentap di peringkat negeri pada 14, 15, 21 dan 22 Oktober.
Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2024, Ab Rauf menyifatkan ia merupakan satu belanjawan dinamik untuk negara terus maju ke hadapan.
Dengan pelbagai insentif dan inisiatif yang diberikan kepada rakyat secara keseluruhannya mampu memacu pembangunan negara.
"Saya lihat pelbagai insentif dan inisiatif yang telah dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong kepada negara yang lebih cemerlang, pemberian bantuan-bantuan Rahmah kepada penjawat awam sama ada yang kekal, berpencen atau yang kontrak telah diselaraskan dan dapat dilihat bahawa satu pendekatan baru dalam membina Malaysia selepas pandemik COVID-19 ini akan membuahkan kejayaan yang kita harapkan" katanya.