fb fb fb fb fb

Bekas juruhebah KELANTAN FM, Tuan Asikan meninggal dunia

FOTO KELANTAN FM

MACHANG, 2 November - Dunia penyiaran tanah air hari ini dikejutkan dengan pemergian bekas juruhebah Kelantan FM dan Radio Klasik, Tuan Asikan Mat Yusoff, yang meninggal dunia pada usia 65 tahun di rumahnya di Kampung Bukit Besi, Temangan, kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Allahyarham yang pernah menjadi antara suara ikonik di corong radio Kelantan FM meninggal dunia akibat komplikasi penyakit selepas tahap kesihatannya dilaporkan mulai merosot sejak Jun lalu.

Menurut isterinya, Rubiah Isa, 57 tahun, allahyarham merupakan seorang suami yang penyayang dan disenangi ramai rakan serta pendengar setianya.

Beliau berkata, suaminya sempat bertemu beberapa rakan lama sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Ramai rakan-rakan arwah datang menziarah sebelum ini.

"Bagi pihak keluarga, saya ingin memohon maaf jika arwah pernah melakukan sebarang kesilapan terhadap sahabat atau kenalan sepanjang hayatnya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di kediamannya.

Rakan karib Allahyarham, Sumardi Hamat @ Muhammad pula menyifatkan pemergian Tuan Asikan sebagai kehilangan besar buat dunia penyiaran, khususnya bagi mereka yang mengenali sumbangan dan bakatnya di radio.

“Kita kehilangan satu bintang yang sangat berharga dalam dunia penyiaran, terutamanya melalui program Unggas Senja yang sinonim dengan suara arwah.

"Beliau seorang yang berilmu, berbakat besar dan sentiasa memberi inspirasi kepada rakan sekerja serta pendengar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakan seperjuangan, Mohd Sidik Abdullah, berkata Allahyarham dikenali sebagai seorang yang berhati mulia, mesra dan mudah didekati.

“Walaupun gurauannya kedengaran spontan dan lucu, setiap kata-kata arwah sebenarnya penuh dengan nasihat dan pengajaran. Beliau seorang yang sangat baik hati, sentiasa menghulur bantuan dan tidak pernah meninggi diri,” ujarnya dengan nada terharu.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Pengarah Penyiaran Kelantan, Toh Swee Ming, dan Pengarah Bahagian Penyiaran JAKIM, Wan Azhan Wan Hamat, bersama warga RTM Kelantan yang menzahirkan rasa kehilangan seorang penyampai berpengalaman dan berjiwa seni.

Allahyarham yang berkhidmat selama lebih 22 tahun bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum bersara pada 2020, dikenang sebagai seorang juruhebah yang berdisiplin, berwibawa dan banyak berjasa dalam memartabatkan bahasa serta budaya Melayu melalui penyiaran radio.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Temangan Lama, Bukit Besi, selepas solat Asar, diiringi ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan rapat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD