fb fb fb fb fb

Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia

(Allahyarham Datuk Nawawi Ahmad)

LANGKAWI, 28 November- Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia awal pagi tadi.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi meninggal dunia kira-kira pukul 3.00 pagi di Frankfurt, Jerman.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, ketika dihubungi, pagi tadi.

Menurut beliau, Allahyarham ke Frankfurt bagi urusan kerja atas kapasiti sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pemergian Allahyarham ke Jerman turut ditemani isterinya, Datin Sabariah Hassan.

"Al Fatihah buat arwah Datuk Nawawi Ahmad 61 tahun Ketua UMNO Bahagian Langkawi telah kembali kerahmatullah awal pagi tadi di Jerman.

"Beliau dalam urusan kerja sebagai Ahli Lembaga Pengarah TNB di Jerman," katanya menerusi Facebook.

Nor Saidi turut memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Jerman.

"Jenazah akan dikebumikan di Jerman. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Takziah kepada keluarga arwah," tambah Nor Saidi.

Allahyarham pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Beliau turut berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

Bagaimanapun pada Parlimen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi.


(Allahyarham Datuk Nawawi Ahmad meninggal dunia di Jerman)

Media Baharu