fb fb fb fb fb

Remaja ditahan curi tabung masjid

(Tangkap layar seorang remaja mencuri duit tabung Masjid Pekan Sanglang)

PONTIAN, 28 November- Seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat mencuri wang tabung Masjid Pekan Sanglang, Ayer Baloi, di sini, Johor.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi satu video berdurasi dua minit 19 saat yang dimuat naik dalam akaun Twitter NanManjoi8715 pada Ahad.

“Video berkenaan memaparkan seorang lelaki mencuri duit tabung masjid. Hasil siasatan pihak polis kejadian tersebut berlaku pada 20 November lalu pada pukul 10.58 pagi di Masjid Pekan Sanglang.

Mohammad Shofee memaklumkan polis menerima laporan berkaitan kejadian oleh pihak pengurusan masjid pada Rabu lalu.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul 3.00 petang, 23 November lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menahan remaja berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

(Tangkap layar Twitter NanManjoi8715)

Media Baharu