HULU TERENGGANU, 5 Jun- Bekalan tepung gandum di pasaran tempatan mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),Datuk Rosol Wahid berkata bagaimanapun terdapat peningkatan harga barangan tersebut berpunca daripada lonjakan harga di peringkat global
Katanya, menerusi pemantauan yang dijalankan mendapati peningkatan antara sepuluh hingga 30 peratus bagi harga tepung gandum bersubsidi itu di pasaran tempatan.
"Dimaklumkan peningkatan disebabkan, yang pertama isu Ukraine dengan Rusia, yang kedua isu pengangkutan kalau dulu dimaklum kepada kita satu tan upah mengangkutnya ialah AS$12 hari ni dah mencapai sehingga AS$50, jadi itu yang dimaklumkan," katanya.
(Datuk Rosol Wahid (kiri) meninjau bekalan tepung Gandum semasa Program Jualan Kedai Prihatin di Kampung Gaung, Kuala Berang hari ni)
Rosol berkata, pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan rapi di setiap peringkat rantaian bagi memastikan bekalan tepung gandum dapat memenuhi permintaan pengguna.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Jualan Prihatin di Masjid Kampung Gaung di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya tidak menafikan berlaku kekurangan bekalan tepung gandum bersubsidi berikutan permintaan yang tinggi berbanding biasa.
"Pengurangan tepung gandum bersubsidi tidak akan menjejaskan peniaga memandangkan bahan itu tidak digunakan untuk membuat roti canai, kuih dan sebagainya.
"Kita tetap pantau bekalan kedua-dua bahan asas ini bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan pengguna dan bekalan kedua-duanya juga adalah mencukupi di pasaran ketika ini," katanya.