KANGAR, 3 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan, bekalan telur ayam dan minyak masak paket di Perlis adalah mencukupi dan boleh diperolehi dengan mudah oleh pengguna.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, 60,000 tan metrik minyak masak dibekalkan setiap bulan untuk keperluan pengguna di seluruh negara ketika ini.
"Manakala bagi telur ayam, kekurangan bagi sesetengah stok untuk gred tertentu disebabkan peningkatan permintaan berikutan musim perayaan dan bekalan kembali seperti sediakala secara berperingkat selepas perayaan ini," katanya ketika mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di sini.
Tambah beliau, harga ayam standard di Perlis juga dijual lebih rendah daripada harga ditetapkan iaitu RM9.10 sekilogram.
"Kedudukan harga dan bekalan pada ketika ini adalah munasabah dan kita berharap tidak berlaku kenaikan harga yang mendadak selepas skim ini berakhir.
Kerajaan juga telah mengumumkan, bermula 5 Februari sehingga 5 Jun nanti, harga dua komoditi utama pilihan rakyat iaitu ayam dan telur ayam akan terus dikawal," katanya lagi.
Sehingga semalam, 6,066 premis telah diperiksa di seluruh negara.
Hasil pemeriksaan mendapati, 11 peniaga dikesan melakukan kesalahan kerana gagal menggunakan tanda harga khas ke atas barangan terkawal.