fb fb fb fb fb

Bekalan sayur kekal terjamin walau musim hujan - FAMA

Kerjasama FAMA dan HDC sempena MIHAS 2025 di MITEC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 9 September - Bekalan sayur-sayuran dan bahan mentah di pasaran tempatan kekal terjamin, walaupun negara berdepan hujan berterusan pada penghujung Monsun Barat Daya.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, pengeluaran hasil tani lazimnya sedikit berkurangan ketika musim hujan, namun ia tidak menjejaskan paras bekalan keseluruhan.

"Di Malaysia terdapat dua kawasan utama pengeluaran sayur-sayuran iaitu di pantai timur dan pantai barat. Ketika ini, pantai timur mengalami hujan yang lebih banyak, namun bekalan tetap disokong dari pantai barat. Keadaan ini berlaku setiap tahun, namun bekalan keseluruhan masih mencukupi dan tidak menimbulkan sebarang isu," katanya selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian antara FAMA dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) di MITEC sempena MIHAS 2025.

Sementara itu, Pengerusi FAMA, Tuan Haji Aminuddin Zulkipli berkata, kerjasama itu membimbing 100 usahawan tempatan dalam pensijilan halal, penggunaan platform digital HIP dan aplikasi HaNa.

Beliau menegaskan pensijilan halal kini menjadi penanda aras kualiti global, membuka akses produk tempatan ke pasaran antarabangsa. Program sehingga Disember ini juga menyokong HIMP 2030, DHN dan DAN 2.0, selain berpotensi meningkatkan jualan usahawan sehingga 30 peratus.

TUN JULIA MOHD TAHIR