fb fb fb fb fb

Bekalan daging untuk Ramadan dan Syawal mencukupi - MAFI

PETALING JAYA, 30 Mac- Bekalan daging pada Ramadan dan Syawal ini, mencukupi.

Jaminan itu disahkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

"Kita banyak mengimport daripada India, Pakistan, Australia. Setakat ini, pengimportannya adalah stabil, tiada gangguan dan kita di MAFI akan sentiasa memantau untuk memastikan bekalan daging mencukupi. Bukan sahaja ketika perayaan tetapi juga bekalan harian negara mencukupi dari segi bekalan daging," kata Ronald dalam sidang media Majlis Pelancaran Jubli Emas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), di sini.

Menurutnya, bekalan daging tidak terjejas walaupun negara bergantung kepada daging import 70% kerana pengeluaran daging tempatan atau tahap sara diri (SSL) industri itu hanya sekitar 21 peratus.

Kerajaan mengambil langkah intervensi jangka pendek menerusi pemberian subsidi kepada penternak bagi meningkatkan pengeluaran telur dan ayam.


(Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sempat berkunjung ke
gerai pameran yang diadakan hari ini/FBMENTERI)

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha untuk mencari kaedah penyelesaian berhubung tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan tani di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata MAFI mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri ketika ini bagi menangani masalah berkenaan.

"Ada isu dan cadangan yang dikemukakan oleh pajakan tanah di beberapa negeri yang menyatakan tempoh pajakan itu terlalu singkat tiga tahun untuk bangunkan industri agromakanan secara besar-besaran. Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang lepas, MAFI diminta untuk mencari jalan penyelesaian bersama dengan kerajaan negeri dan kita sedang lakukan," tambahnya

MAFI dan pengurusan tertinggi kerajaan turut meneliti cadangan penggiat industri untuk menilai dan memanjangkan tempoh lesen sedia ada bagi meningkatkan pembangunan industri agromakanan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, menerusi hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), kerajaan bersetuju agar MAFI berbincang dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh TOL yang dihadapi usahawan tani.

Media Baharu