LABUAN, 25 Januari – Bekalan 12 jenis barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Labuan mencukupi dan terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim kawalan yang berkuatkuasa selama sembilan hari bermula hari ini.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata para peniaga mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan melalui senarai barangan yang diluluskan.
“Penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan, bukan hanya di pasar raya utama, tetapi juga di pasar-pasar seluruh Labuan,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran skim kawalan harga tersebut, di sini.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Labuan, Junaidah Arbain berkata Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Tahun Baharu Cina dilaksanakan setiap minggu, bertujuan memberi peluang kepada pengguna untuk membeli barangan pada harga lebih murah.
“Di Labuan, program ini telah dimulakan minggu lepas, dan minggu ini, kami telah menambah jumlah lokasi dan kuantiti barang sebagai persediaan untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina,” jelasnya.