KUALA LUMPUR, 25 Januari- Pengurangan tol sebanyak 50 peratus bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina adalah langkah yang wajar.
Keputusan berkenaan sangat praktikal kerana ia memberi faedah kepada pengguna lebuh raya menjelang musim perayaan.
Pakar Geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata pengurangan tol itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan rakyat yang memerlukannya.
Namun, beliau berpendapat bahawa dalam masa sama, kerajaan perlu mengurangkan inisiatif itu secara berperingkat bagi memberi tumpuan kepada subsidi bersasar yang boleh dinikmati oleh semua golongan.
"Kenapa 50 peratus, bukannya 100 peratus, diberikan kali ini? Kerana kerajaan mempunyai perancangan untuk mengurangkan atau menghapuskan sama sekali subsidi tol ini.
"Ini kerana yang menikmatinya dikatakan tidak setimpal dengan pampasan yang kerajaan terpaksa bayar kepada konsesi tol umpamanya.
"Selain itu, konsep memberikan tol percuma ini tidak menggalakkan rakyat yang boleh menggunakan pengangkutan awam, sebaliknya mereka memikirkan bahawa tol percuma lebih baik untuk memandu kereta sendiri.
"Jadi, ini yang dikatakan mengapa 50 peratus diberikan, iaitu sementara menunggu kaedah yang paling sesuai untuk diberikan subsidi tol percuma kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada RTM.