KUCHING, 25 Januari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengekalkan amaran waspada yang dikeluarkan pada 24 Januari, berikutan ramalan cuaca hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga penghujung bulan ini, melibatkan sebahagian besar Sarawak dan Sabah.
Sebelum ini, MET Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi Sarawak dan Sabah yang berkuat kuasa dari 27 hingga 30 Januari, disebabkan luruan monsun yang dijangka memasuki rantau negara bermula pada 26 Januari.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora turut berkuat kuasa bagi perairan Laut China Selatan dari 27 hingga 30 Januari.
Pengarah MET Malaysia Sarawak, Khairul Najib Ibrahim memaklumkan hasil daripada perbincangan semasa dan taklimat harian cuaca hari ini, tiada sebarang perubahan terhadap ramalan cuaca yang dijangka berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kedua-dua negeri tersebut.
Khairul Najib mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan dan bersedia menghadapi risiko kejadian banjir yang mungkin berlaku.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa memperoleh maklumat daripada sumber yang sahih, serta mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak jelas, terutamanya semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.