KUALA LUMPUR, 24 Julai - Beberapa buah negara dilihat berminat untuk menjadi Rakan Dialog dalam Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi memperkukuhkan lagi kerjasama serantau dalam pelbagai aspek selaras tema Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, “ Keterangkuman dan Kemampanan”.
"Banyak blok-blok lain, banyak negara-negara lain sekarang sedang memohon hendak minta menjadi negara anggota Rakan Dialog, beratur. Kita sudah ada 11 Rakan Dialog", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Rakan Dialog ASEAN berperanan besar dalam menilai hubungan, selain usaha memperkukuh semula perkongsian serta kerjasama melalui pelaksanaan berkesan pelan tindakan.
Sehingga kini, 11 buah negara menjadi Rakan Dialog ASEAN termasuk Amerika Syarikat, China, India dan Jepun.
Sementara itu, negara anggota ASEAN disaran untuk memperkasa kegiatan dagangan ekonomi dengan tidak hanya bergantung kepada negara berkuasa besar.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan krisis ekonomi luar jangka yang dikenakan oleh negara rakan dagang.
"Kita perlu berdagang sesama sendiri dan jika kita boleh dapat tambah daripada tidak sampai 25 peratus sekarang ini, sehingga 30-40 peratus pun, ia satu pencapaian yang besar, untuk kita pastikan kebergantungan negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia. Malaysia bergantung kepada negara tradisi kita, rakan dagang kita", katanya.
Bagaimanapun katanya, penyertaan Malaysia dalam Negara Anggota BRICS dilihat berupaya memperkukuhkan ekonomi negara.