
PUTRAJAYA, 2 April –Cadangan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat dapat membantu mengurangkan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api.
- Dasar BDR bertujuan memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan tanpa menjejaskan produktiviti dan kecekapan kerja.
- Penjawat awam menyambut baik; BDR beri kelegaan kos perjalanan, cadangan pelaksanaan secara bergilir dua hingga tiga hari.
- Perdana Menteri umum BDR bermula 15 April bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.
Dasar itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan tanpa menjejaskan produktiviti.
Tinjauan RTM mendapati, rata-rata penjawat awam menyambut baik inisiatif tersebut.
Bagi Siti Nurul Alfisyah Awang, pelaksanaan BDR memberi kelegaan kepada penjawat awam yang berulang-alik dari kawasan jauh ke pusat pentadbiran seperti Putrajaya.
Katanya, kos perjalanan yang semakin meningkat menjadikan inisiatif itu sangat membantu, terutama bagi mereka yang menetap di luar kawasan seperti Nilai.
“Bagi saya sangat baguslah terutama pagi penjawat awam yang bekerja di luar kawasan yang duduk jauh contoh duduk di nilai tapi bertugas Putrajaya dengan kadar petrol sekarang yang makin meningkatkan. Jadi sangat baguslah bagi saya inisiatif kerajaan untuk BDR Ini,”
Pandangan sama turut dikongsi Hari Piriya Paramasivan yang menyifatkan cadangan BDR sebagai langkah tepat dalam membantu penjawat awam berjimat, terutama ketika kos bahan api meningkat.
“iInisiatif ini memang sangat baik kerana harga bahan api kini sedang meningkat. Saya rasa ia adalah langkah yang baik oleh kerajaan untuk membantu semua kakitangan kerajaan berjimat.
Pegawai-pegawai yang datang dari jauh menyambut baik inisiatif ini. Namun, di pejabat saya, ada sedikit perbincangan santai mengenai kemungkinan pelaksanaan secara bergilir, contohnya dua hingga tiga hari sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Asheeqin Haron menegaskan pelaksanaan BDR tidak akan menjejaskan kualiti kerja, sebaliknya masih mampu mengekalkan tahap kecekapan dan produktiviti.
Katanya, komitmen terhadap tugasan memastikan setiap kerja yang diberikan dapat disiapkan mengikut piawaian ditetapkan walaupun dilaksanakan secara fleksibel.
“Mereka menyambut baik inisiatif ini kerana subsidi minyak pun sudah berkurangan; bantuan yang ada sedikit sebanyak membantu, tetapi masih ada keperluan untuk hadir ke pejabat.
Kualiti kerja tetap sama kerana kami mempunyai komitmen untuk menyiapkan tugas yang diberikan, jadi inisiatif ini tidak menjejaskan kualiti, keberkesanan, atau kecekapan kerja,” kata Nurul.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April, sebagai langkah menghadapi krisis tenaga global.
Datuk Seri Anwar berkata, keputusan dibuat untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.