fb fb fb fb fb

Bazar Ramadan Rahmah, inisiatif terbaharu kurangkan kos sara hidup rakyat

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 28 Mac - Bazar Ramadan Rahmah (BRR) menjadi produk terbaharu di bawah inisiatif Payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif itu akan dilaksanakan di 38 lokasi seluruh negara sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

BRR mendapat kerjasama strategik antara KPDN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan.

"Dan hari ini terdapat lebih kurang 148 gerai dan hampir 48% daripada gerai-gerai ini, mereka menawarkan menu Rahmah, jadi saya telah melihat sudah hampir dua bulan inisiatif menu Rahmah ini kita pelopori dan semakin hari semakin ramai yang menyertainya dan sampailah kita ke hari ini BRR telah berjaya kita wujudkan dan nampaknya sambutan sangat mengalakkan," kata beliau selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat kebangsaan di Presint 14, di sini.

(Datuk Seri Salahuddin Ayub menunjukkan salah satu menu Rahmah yang dijual di Bazar Ramadan
Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14/ Foto BERNAMA)

Sementara itu, Salahuddin memaklumkan pihaknya telah menerima 99 aduan dan 20 kes telah dibuka bagi tujuan siasatan bermula awal Ramadan dan beliau sudah mengarahkan pegawai KPDN sentiasa melakukan operasi pemantauan ke atas penjual.

Dalam pada itu, beliau dijangka mengumumkan harga maksimum barangan asas menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Dua minggu lagi saya akan umumkan harga maksimum, harga barangan penting yang asas kepada rakyat untuk mendapat berbelanja dengan rasa gembira, jadi saya akan umum dua minggu lagi termasuk dengan barangan asas, tentang penguatkuasaan, KPDN sentiasa mengawasi dan sekarang operasi hampir setiap hari untuk kita pastikan bekalan cukup dan tidak ada kenaikan harga yang melampau," menurut beliau.

Media Baharu