fb fb fb fb fb

Bazar Ramadan di Kelantan utamakan aspek kebersihan

KOTA BHARU, 17 April - Setiap kali tibanya Ramadan, selain tawaran keunikan dan kepelbagaian juadah yang boleh di dapati di bazar-bazar Ramadan di Kelantan, aspek kebersihan turut menjadi isu yang sering dibangkitkan.
 
Saban tahun isu ini didakwa gagal ditangani sebaiknya di mana sedikit sebanyak telah merencatkan kemeriahan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu.
 
Berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, penganjuran bazar Ramadan di Kelantan kali ini dilihat lebih tersusun dengan keutamaan terhadap aspek kebersihan juga diberikan perhatian serius.
 
Ia diakui Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menyifatkan perkembangan itu sesuatu yang baik ke arah memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan dijual terjamin.
 
"Jadi kita berharap, kita berdoa supaya ianya akan berterusan hingga kita menyambut Syawal nanti, tentu sekali ia memerlukan kerjasama dari semua pihak sama ada dari peniaga, pengguna dan juga penganjur bazar Ramadan," kata beliau.
 
Sepanjang Ramadan kali ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mewujudkan 42 pasukan pemantau terdiri daripada 214 anggota kesihatan pelbagai kategori bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri.
 
Pada masa sama, orang ramai yang berkunjung juga boleh melakukan imbasan terhadap kod Aduan yang disediakan kepada pengguna untuk tindakan penyiasatan pantas oleh pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan negeri berhubung kebersihan dan keselamatan makanan yang dilaporkan.
 
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB BRI), amat menitikberat soal kebersihan khususnya kepada pengendali dan peniaga Bazar Ramadan.


(Penganjuran bazar Ramadan di Kelantan kali ini dilihat lebih tersusun dengan keutamaan
terhadap aspek kebersihan juga diberikan perhatian serius)

Yang Di Pertua MPKB BRI, Rosnazli Amin berkata, penekanan terhadap perkara itu diberikan perhatian serius serta menjadi pra syarat utama kepada penganjur bazar Ramadan dan vendor pengurusan sampah kali ini.
 
"Pada bulan Ramadan ini peniaga-peniaga mengeluarkan atau dengan kata lain menjana sampah yang agak besar, kita nak supaya vendor berkenaan yang mengendalikan sampah dalam kawasan bazar masing-masing dengan cara yang lebih teratur sebab kalau tidak ianya akan memberi impak yang lebih besar kepada bandar kita sendiri," jelas beliau.
 
Di kawasan operasi MPKB BRI sahaja, lebih 1,400 petak perniagaan diberikan permit untuk menjalankan peniagaan ketika Ramadan.
 
"Dari segi kebersihan memang penting sini, sampah itu dia tak bagi tinggal langsung, kena pergi buang dalam tong setiap hari dia akan kutip,kita peniaga pergi buang sampah dalam tong besar itu, dia akan check setiap hari," kata peniaga, Amirul Abdul Wahid.
 
"Alhamdulillah sini 'management' bagus dari segi titik berat sampah, dia ambil berat lah kebersihan di sini dan tong sampah pun disediakan jadi mudah lah kita untuk buang sampah, bila kita dah beli tapak ini bila kita dah masuk kawasan orang kita kena jaga, kita kena ikut undang-undang sini, dari segi kebersihan, peraturan sini lah," kata peniaga, Mohd Nor Azri Abdul Aziz.
 
Sepanjang Ramadan kali ini, terdapat lebih 66 tapak Bazar Ramadan melibatkan lebih 4,200 petak perniagaan di seluruh Kelantan yang berdaftar dengan PBT.
 
Angka itu merekodkan peningkatan 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
 
Laporan Fikri Zaib.

Media Baharu