fb fb fb fb fb

Bayi tiga bulan meninggal dunia pada hari pertama di pusat asuhan

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 6 Mac- Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa bayi lelaki terbabit pada pukul 3.31 petang, hari yang sama.

Menurut laporan, bapa bayi berkenaan telah menghantar anaknya buat kali pertama ke pusat asuhan itu pada 8.30 pagi sebelum dihubungi pengurus pusat berkenaan dua jam kemudian memaklumkan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan dibuat.

"Bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Shah Alam semalam dan pihak polis sedang menunggu laporan makmal untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan awal terhadap bayi itu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran mahupun dalaman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE