fb fb fb fb fb

Bekalan ikan mencukupi sepanjang Ramadan- LKIM

Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil

PASIR PUTEH, 6 Mac- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bahawa bekalan ikan sepanjang Ramadan mencukupi.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata ini kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) sudah berakhir dan nelayan dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.

Beliau berkata, selain sumber laut yang banyak, negara juga mempunyai ternakan akuakultur dan import selain tahap sara diri (SSL) negara juga sudah mencecah 90 peratus.

Beliau juga meminta peniaga mempunyai tanggungjawab sosial dan tidak menaikkan harga sesuka hati agar harga ikan tidak naik melambung.

"Saya tak fikir kita akan ada terbeban dengan masalah gangguan bekalan ataupun harga ikan yang mahal bagi saya ikan di Malaysia ini cukup sebabnya kita ada sumber laut yang banyak, kita ada sumber akuakultur dan kita juga ada setengah- setengah di import," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 Persatuan Nelayan Kawasan Semerak,di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Faiz mahu lebih banyak persatuan nelayan terlibat dalam program 1 Persatuan 1 Produk.

Jelasnya, sudah ada persatuan yang mengambil inisiatif tersebut namun pihaknya mengharapkan setiap persatuan nelayan di Malaysia mempunyai produk berasaskan perikanan masing-masing.

ZEHRA BINTI ZAMBRI