fb fb fb fb fb

Bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki di Jalan Kempas

FOTO IPD KUCHING

KUCHING, 13 Julai – Seorang lelaki tempatan dipercayai berusia lingkungan 60-an ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kempas, Kuching, tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang mengadu terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan polis menemui mayat lelaki tersebut dalam keadaan duduk dan tidak sedarkan diri di lantai ruang tamu rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang hadir kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HUS untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut demi menghormati perasaan dan privasi keluarga si mati.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE