TAIPING, 13 Julai -Golongan wanita dinasihatkan agar lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang program atau aktiviti yang tular di media sosial, termasuk program motivasi rumah tangga seperti eHATI.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, siasatan terhadap latar belakang penganjur perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyertaan dalam aktiviti yang mencurigakan.
Beliau turut menasihatkan wanita supaya mendapatkan pandangan pakar sebelum menyertai sebarang program.
"Tetapi saya belum mendapat laporan terperinci mengenai perkara tersebut. Mungkin Yang Berhormat Menteri sudah menerimanya. Apa yang penting, sekiranya perkara itu melibatkan kementerian kami, kita akan segera menggerakkan kaunselor untuk bertemu dengan mereka," katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Taiping, di sini.
Terdahulu, program eHATI yang dikendalikan sepasang suami isteri itu tular di media sosial dan didakwa bercanggah dengan ajaran Islam. Program berkenaan didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.