fb fb fb fb fb

Batu Pahat daerah terbaharu terjejas banjir

JOHOR BAHRU, 25 Januari- Jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 3,612 orang setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Dimaklumkan, Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas banjir.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka, menjadikan keseluruhannya 35 PPS di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Segamat dan Batu Pahat.

“Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

“Diikuti pula Kluang melibatkan 1,139 orang daripada 325 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, pagi ini.

Di Kota Tinggi, JPBN memaklumkan seramai 557 mangsa daripada 136 keluarga berlindung di enam PPS manakala daerah Mersing, terdapat empat PPS yang menempatkan 403 penduduk daripada 130 keluarga.

Batu Pahat pula mencatatkan seramai 121 mangsa daripada 30 keluarga yang dipindahkan ke satu PPS.

(Foto APM Johor)

Manakala Jalan Senai-Gemas, Segamat, yang ditutup semalam telah dibuka semula untuk semua kenderaan dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, di sini, ditutup kerana tanah runtuh.

Tiga sungai di Johor melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada pada paras 19.13 meter (m), Sungai Segamat (Segamat Kecil) 37.55m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) 15.7m.

Media Baharu