RANTAU PANJANG, 30 Mei- Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Rantau Panjang, Kelantan mencipta sejarah apabila pertama kalinya memperkenalkan penggunaan tanah liat sebagai bahan alternatif dalam proses penghasilan batik.
Kaedah penggunaan tanah liat dilihat menjimatkan masa dan kos serta mudah dikendalikan. Selain itu ia juga merupakan bahan alternatif sebagai penghalang warna dalam penghasilan batik.
Menurut peserta Salmah Mohamad yang merupakan antara 22 peserta terlibat dengan kaedah itu berpendapat, penggunaan tanah liat untuk membuat motif batik merupakan inovasi baharu di negeri itu.
Teknik berkenaan juga menerima bimbingan daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.
"Apa yang saya perhati, kita dapat kurangkan bajet. Kemudian kerja yang dilakukan juga cepat sebab dia tak perlu canting.
"Pengeluaran juga lebih banyak, sebab ia lebih cepat berbanding proses mencanting batik. Kalau setengah jam, boleh siap sehelai batik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) BIdang Kraf Batik Tanah Liat (Fasa Pertama) di Dewan Felcra Bukit Tandak, di sini.
Bagi Faizam Sulaiman, dia juga berpendapat proses untuk menyiapkan sehelai batik menggunakan tanah liat dalam melakukan lakaran batik mengambil masa yang agak cepat berbanding proses mencanting selain mempunyai peminatnya tersendiri.
"Batik tanah liat ini tidak mengambil masa yang lama, untuk satu pasang kira-kira empat meter ianya boleh disiapkan dalam tempoh setengah jam.
"Jadi kita boleh menghasilkan prodek itu lebih cepat dan bilangan kuantiti juga bertambah. Kita boleh jana pendapatan juga," katanya.
Teknik mencetak dilakukan dengan acuan kertas yang dilukiskan dalam bentuk bunga atau kerawang dan dilekapkan ke atas fabrik sebelum tanah liat ditekap dengan alat penggelek.
Teknik berkenaan juga membolehkan peserta menghasilkan batik yang mesra alam sekali gus menawarkan kepelbagaian pilihan produk kepada pengguna.
Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan Nariman Yusoff berkata, tanah liat dijadikan bahan alternatif sebagai penghalang warna dalam penghasilan batik tradisional.
"Kelantan ini kita kata negeri yang utamalah dalam pengeluaran produk batik di Malaysia. Jadi saya mengharapkan agar komuniti dan usahawan kraf sendiri menceburi dalam bidang usahawan batik tanah liat ini.
"Saya rasa potensinya sangat besar ditambah pula dengan romosi kepada mesra alam. Jadi ia mungkin menarik lebih ramai pembeli kepada batik berkenaan," katanya.