fb fb fb fb fb

Pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT terima baucar buku RM100

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula pelajar Tahun 4.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turut menerima manfaat itu ialah pelajar sekolah menengah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Baucar tersebut katanya boleh digunakan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang sedang berlangsung ketika ini bermula pukul 2.00 petang esok.

"Kerajaan boleh teruskan dengan baucar 100 ringgit itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari murid Tahun 4 dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.

"Kita akan beri panduan jenis buku termasuk novel klasik seperti hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam perkembangan lain guru-guru dan ibu bapa disaran membantu pelajar dan anak-anak untuk menilai ilmu dengan sebaiknya.

Anwar menyifatkan dengan memberi pemahaman lebih mendalam supaya boleh membezakan percambahan maklumat yang semakin mudah diperoleh. 

Selain itu ia juga bagi membentuk sebuah negara yang kukuh dalam sektor ekonomi, budaya selain mengangkat martabat manusia yang memiliki akhlak dan penguasaan ilmu yang meluas.

"Sekarang ini dunia telah melahirkan pelbagai kemudahan baharu, jadi percambahan maklumat perlu dipastikan berharga atau tidak. Mesti latih anak-anak supaya dapat membaca dalam menentukan informasi, pengetahuan, dan kebijaksanaan," katanya.

PABKL 2024 diadakan bermula 24 Mei hingga 2 Jun ini bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam dengan menyasarkan kehadiran 1.5 juta pengunjung.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI