fb fb fb fb fb

Batang Ai bakal jadi pusat tenaga boleh diperbaharui terbesar Malaysia

Empangan Hidro Elektrik Batang Ai, terletak kira-kira 270 km dari Bandaraya Kuching / BERNAMA

LUBOK ANTU, 6 Oktober - Kawasan Batang Ai bakal menjadi pusat pengeluaran tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia apabila projek tenaga solar berskala besar dengan kapasiti keseluruhan 170 megawatt (MW) siap kelak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan itu berdasarkan rancangan penambahan kapasiti tenaga solar baharu di kawasan berkenaan.

“Macam yang disebut Ibrahim tadi, projek sedia ada menjana 50 megawatt. Kita akan tambah lagi 120 megawatt, menjadikan keseluruhan 170 megawatt elektrik. Mungkin yang terbesar di Malaysia juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Empangan Elektrik Batang Ai, hari ini.

Menurut Tan Sri Abang Johari, projek itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri ke arah memperkukuh sektor tenaga hijau di Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa kawasan lain seperti Bakun dan Murum turut dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan tenaga solar dengan penyertaan pelabur baharu.

Katanya lagi, pembangunan tenaga boleh diperbaharui itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, termasuk merancakkan sektor pelancongan di Batang Ai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE