KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Seramai 97 warga asing ditahan dalam satu operasi di tapak penjaja pasar malam di Klang dan Kajang, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dilakukan susulan lokasi berkenaan dipercayai menjadi tumpuan warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh.
"Operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam serta hasil risikan selama seminggu.
"Dalam serbuan itu, seramai 884 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing telah diperiksa," menurut kenyataan itu.
Siasatan lanjut mendapati, seramai 97 warganegara asing ditahan terdiri daripada 72 lelaki dan 25 wanita berusia antara 18 hingga 62 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Beranang dan Depot Imigresen KLIA untuk siasatan serta tindakan lanjut.
JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini.
Tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI.