KOTA BHARU, 6 Oktober - Beberapa koperasi dan pasar mini di Kelantan dikesan menyalahgunakan jenama Jualan Rahmah ketika menganjurkan jualan barangan di beberapa lokasi di negeri itu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, setakat ini sebanyak 10 kes penyalahgunaan jenama tersebut telah dikesan, dipercayai bagi menarik perhatian orang ramai.
Menurut beliau, penggunaan istilah Jualan Rahmah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian.
“Barang yang mereka jual tidak sama seperti barangan yang dijual melalui program Rahmah kendalian KPDN. Dalam program kerajaan, kita tawarkan diskaun sehingga 30 peratus, tetapi mereka jual pada harga biasa.
"Kita hanya tetapkan 25 jenis barangan di bawah program Rahmah ini, bukannya semua boleh dimasukkan sesuka hati. Ada barangan yang dibenarkan dan ada yang tidak, contohnya susu tepung, memang tidak termasuk dalam senarai kerana kita tidak buat jualan untuk kategori itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah MADANI di Kampung Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya telah mengeluarkan amaran kepada koperasi dan pasar raya terlibat supaya menurunkan banting atau kain rentang Jualan Rahmah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Dalam perkembangan berasingan, Azman turut mendedahkan kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran masih berterusan berikutan keuntungan lumayan yang diperoleh sindiket terbabit.
Katanya, penyeludup mampu meraih keuntungan sehingga RM3 bagi setiap liter petrol, memandangkan harga bahan api di negara jiran sekitar RM5.60 seliter, jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.
Sehubungan itu, KPDN sentiasa mempertingkatkan pemantauan dan risikan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.